Sunday 11 December 2011

JEJAK LABAH-LABAH MENINGKATKAN PENGUASAAN KEMAHIRAN MEMBACA SUKU KATA DAN PERKATAAN KVK DI KALANGAN MURID TAHUN 1 (LINUS) MELALUI TEORI KECERDASAN KINESTATIK

Abstrak:
Kecerdasan Kinestatik adalah salah satu cabang daripada Teori Kecerdasan Pelbagai. Teori ini amat penting kerana ia berkait rapat dengan dunia pendidikan. Adalah diakui bahawa setiap murid memiliki pelbagai kecerdasan. Namun, apa yang membedakan mereka ialah cara berfikir, bertindak dan belajar. Aplikasi Teori Pelbagai Kecerdasan dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu Tahun1 adalah bertujuan untuk menyokong proses pembelajaran bersepadu dan menyeluruh selaras dengan keperluan murid dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Jesteru, inovasi dalam proses pengajaran dan pembelajaran guru -murid yang diketengahkan ini JEJAK LABAH-LABAH, telah menggabungkan teknik permainan untuk mempertingkatkan kemahiran membaca perkataan suku kata KV dan KVK, di kalangan 4 orang murid Program Linus Tahun 1 Lily SK Wawasan, Seremban 2. Permainan kata - perkataan suku kata kv dan kvk dalam ‘Jejak Labh-labah’, ini dapat membantu meningkatkan penguasaan membaca perkataan suku kata kv dan kvk dikalangan 4 pelajar tadi. Responden ini, telah dirawat dengan ‘Jejak Labah-labah’ selama 60 minit setiap sesi rawatan. Rawatan ini dijalankan selama 4 minggu sahaja. Kajian ini telah dapat diselesaikan dalam tempoh 2 bulan. Keputusan Ujian Post telah menunjukkan peningkatan prestasi penguasaan bacaan kv dan kvk pelajar. Dapatan daripada soal selidik pula menunjukkan pelajar amat berminat untuk membaca dan mereka telah memahami dan menguasai kemahiran membaca ini sepenuhnya. Mereka amat seronok ketika bermain permainan ini. Akhirnya, ‘Jejak Labah-labah’ telah berjaya memupuk minat dan mempertingkatkan penguasaan kemahiran membaca pelajar.

Tajuk Kajian:
Jejak Labah-labah Dalam Penguasaan Kemahiran Membaca Perkataan Suku Kata KVK

Nama Penyelidik:
Siti Nor Farizah bt Yaakob

Nama Sekolah:
Sekolah Kebangsaan Wawasan,
Seremban 2,
70300 Negeri Sembilan.

1. Refleksi Pengajaran dan Pembelajaran yang lalu:
Saya adalah guru Bahasa Melayu Tahun 1 di Sekolah Kebangsaan Wawasan Seremban 2 yang mengajar mengikut Program Linus anjuran KPM di bawah NKRA daripada tahun 2008 hinggalah sekarang. Semasa sesi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu selama 3 bulan di tahun 2011, saya telah mendengar bacaan murid dari Tahun 1 Lily seramai 4 daripada 14 orang melalui aktiviti membaca berdasarkan modul yang dibekalkan dan mendapati mereka kurang minat untuk mengeja dan membaca.Timbul persoalan di fikiran saya mengapa agaknya mereka tidak boleh menyebutkan perkataan dengan sebutan yang betul mengikut suku kata, ini menyebabkan kemahiran membaca mereka amat lemah. Oleh itu, saya telah menjalankan pemerhatian tidak berstruktur dalam P&P saya. Hasil dapatannya, saya dapati mereka kurang berminat untuk membaca, tidak boleh membaca kad perkataan yang diberi dengan lancar dan betul sebutannya, serta kurang memberi tumpuan terhadap apa yang dibaca dan amat suka bermain-main semasa P & P terutama di kelas biasa. Sekiranya masalah ini tidak diberi perhatian, maka mereka akan menjadi murid yang tercicir. Sehubungan itu, saya telah menjalankan kajian tindakan ini.

2. Isu Keprihatinan:
Walaupun saya mengesan banyak masalah yang dihadapi oleh murid saya, saya hanya memfokuskan kajian ini untuk meningkatkan penguasaan kemahiran membaca perkataan suku kata kvk Secara khususnya murid berkenaan menghadapi masalah membaca di peringkat suku kata dan masalah pengamatan. Untuk mengatasi masalah mereka, satu inovasi berbentuk permainan telah diketengahkan. Melalui pemerhatian dan kajian, didapati kebolehan guru menarik minat murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu dengan mengaplikasikan inovasi – Jejak Labah-labah berasaskan Teori Kecerdasan Kinestastik, merupakan daya pengerak kepada pengukuhan bacaan dan minat murid. Pengajaran dan Pembelajaran Guru – Murid menjadi lebih seronok, dan guru dapat mengetahui kekuatan dan kelemahan murid. Akhirnya manipulasi alat dan bahan digunakan untuk aktiviti pengukuhan seterusnya.

3. Objektif Kajian:

3.1 Objektif Am

i. Jejak Labah-labah meningkatkan penguasaan kemahiran membaca perkataan suku kata kvk dalam kalangan murid pemulihan khas melalui Teori Kecerdasan Kinestatik.

3.2 Objektif Khusus

i. Di akhir kajian 100% pelajar boleh membaca suku kata kv dengan lancar.
ii. Di akhir kajian 100% pelajar boleh membaca perkataan suku kata kv dan kvk dengan lancar.
iii. Mengubah persepsi murid terhadap keupayaan diri, meningkatkan jati diri dan punya rasa tanggungjawab terhadap diri sendiri.
iv. Mewujudkan interaksi mesra guru dengan murid, murid dengan guru,dan murid dengan murid.

4. Kumpulan Sasaran:
Kumpulan sasaran kajian saya terdiri daripada murid Linus Tahun 1 Arif seramai 4 orang. Dua orang lelaki dan dua orang perempuan yang masing-masing tidak menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M).

Sampel 1: Hema Loshini A/P Veeramany. Bapa seorang pemandu lori dan ibu merupakan seorang suri rumah sepenuh masa. Mempunyai 4 orang adik beradik dan merupakan anak bongsu dalam keluarga. Abangnya pernah mengikuti kelas pemulihan semasa berada di Tahun 2 dan 3.

Sampel 2: Nur Zahirah bt Za’im. Bapanya seorang akauntan manakala ibunya pula merupakan seorang kerani. Beliau mempunyai 4 orang adik beradik dan merupakan anak bongsu dalam keluarga. Kakaknya pernah mengikuti kelas pemulihan semasa berada di Tahun 2.

Sampel 3: Muhammad Amir Razi b Nordin. Bapanya bekerja sendiri manakala ibunya pula merupakan seorang suri rumah tangga sepenuh masa. Beliau mempunyai 9 orang adik beradik dan merupakan anak ke-6 dalam keluarga. Kakak dan abangnya pernah mengikuti kelas pemulihan semasa berada di Tahun 2 dan 3.

Sampel 4: Muhammad Najiem Haqeemi b Abdullah. Bapanya seorang peniaga manakala ibunya pula merupakan seorang suri rumah tangga sepenuh masa. Beliau merupakan anak angkat dan mempunyai 5 orang adik beradik yang lain bersama keluarga angkatnya. Jarak tempat tinggalnya adalah sejauh 10km dari sekolah.

5.Pelaksanaan Kajian:

Proses Tindakan
Proses 1 Merancang : Sebelum melaksanakan Kajian Tindakan, penyelidik perlu membuat perancangan.
1.1 Tinjauan Masalah
Kaedah Soal Selidik. Dalam pelaksanaan kajian ini, saya telah menjalankan soal selidik tahap penguasaan bacaan kepada 4 orang murid Tahun 1Lily berasaskan Saringan 1 dibawah Program Linus KPM, dengan menggunakan Kad Senarai Semak Baca. Analisis dapatan menunjukkan 100 % murid tidak boleh membatangkan perkataan dengan betul dan lancar. Sepatutnya di Tahun 1 , mereka telah menguasai kemahiran membaca perkataan kv, kvk dan kvk serta ayat-ayat mudah. 

Proses 2 Analisa keputusan / dapatan dan mereflek keberkesanan aktiviti yang dijalankan.
2.1 Kaedah Temu Bual
Saya juga menjalankan temu bual bagi mendapatkan bukti kesahihan tanggapan saya, bahawa mereka tidak minat membaca. Maka pada 4/10/2011 saya juga telah mengadakan temu bual secara berstruktur untuk mengetahui punca permasalahan dan sikap mereka terhadap bacaan. Dapatan daripada temubual tersebut, saya dapati 4 orang pelajar ini tidak suka membaca. Kesemua mereka mengaku tidak pandai membaca, tetapi mereka suka mendengar orang membaca dan merasa aktiviti membaca tidak seronok. Oleh itu, mereka tidak suka mengambil ujian membaca kerana takut tidak boleh membaca teks ujian yang diberi.. Daripada dapatan ini , andaian saya, murid tidak berminat untuk membaca adalah benar.

Proses 3 Bertindak ( melaksanakan rancangan )
Penyelidik melaksanakan rancangan mengikut apa yang telah dirancang.
3.1 Tindakan Yang Dijalankan
Saya memperkenalkan permainan ‘Jejak Labah-labah’, berasaskan Pendekatan Kecerdasan Kinestatik, untuk merangsang minat membaca seterusnya dapat mempertingkatkan tahap bacaan mereka dalam kemahiran membaca perkataan suku kata kv dan kvk ketahap yang optimum. Saya telah merangka 5 aktiviti yang dinamakan Jejak Labah-labah-1-4
o Aktiviti 1- Jejak Labah-labah 1, saya menjalankan pengukuhan semula sebutan abjad a hingga z.
o Aktiviti 2- Jejak Labah-labah 2, saya menjalankan pengukuhan sebutan suku kata kv.
o Aktiviti 3- Manakala dalam Jejak Labah-labah 3, saya memberikan peneguhan dalam bacaan perkataan gabungan daripada suku kata terbuka kv + kv.
o Aktiviti 4- Jejak Labah-labah 4, saya membuat peneguhan dalam membaca perkataan suku kata kvk.

Berikut adalah bahan-bahan yang digunakan dalam kajian ini:
􀂾 Tapak Jejak Labah-labah.
􀂾 Dadu konsonan dan vokal.
􀂾 Kad abjad a hingga z berleminate.
􀂾 Kad-kad perkatan kv berleminate.
􀂾 Kad-kad perkataan kvk berleminate.

Proses 4 Memerhati ( mengumpul bukti )
Pengumpulan maklumat boleh dikumpul melalui pemerhatian, temubual, soal selidik, ujian dan latihan serta analisis dokumen.

4.1 Pelaksanaan Tindakan /Pemerhatian dan Refleksi
4.1.1 Aktiviti 1- MODEL JEJAK LABAH-LABAH 1
4.1.1.1 Minggu 1 kemahiran mengenal abjad a hingga z.
4.1.1.2 Murid mencari nombor bagi setiap abjad dan sebut abjad a hingga z serta
menyanyikan lagu ABC secara didik hibur.
4.1.1.3 Murid dapat mengenal huruf vokal dan konsonan.
4.1.1.4 Ulang aktiviti kepada murid lain sehingga 4 pusingan.
4.1.5 Berdasarkan pemerhatian daripada aktiviti 1, ternyata aktiviti ini dapat
mengukuhkan penguasaan kemahiran mengenal abjad a hingga z murid.

4.1.2 Aktiviti 2 – MODEL JEJAK LABAH-LABAH 2
4.1.2.1 Murid ditunjukkan carta Jejak Labah-labah kv.
4.1.2.2 Murid mencari abjad berdasarkan nombor yang diberi dan menyebut suku
kata kv yang diperolehi
4.1.2.3 Ulang aktiviti kepada murid lain sehingga 4 pusingan.
4.1.2.4 Berdasarkan pemerhatian daripada aktiviti 2, ternyata aktiviti ini dapat
mengukuhkan penguasaan kemahiran suku kata kv.

4.1.3 Aktiviti 3 – MODEL JEJAK LABAH-LABAH 3
4.1.3.1 Murid ditunjukkan carta Jejak Labah-labah kv+ kv.
4.1.3.2 Murid mencari abjad berdasarkan nombor yang diberi dan menyebut suku
kata kv+kv yang diperolehi
4.1.3.3 Ulang aktiviti kepada murid lain sehingga 4 pusingan.
4.1.3.4 Berdasarkan pemerhatian daripada aktiviti di atas, ternyata aktiviti ini
dapat mengukuhkan penguasaan kemahiran suku kata kv.

4.1.4 Aktiviti 4 – MODEL JEJAK LABAH-LABAH 4
4.1.4.1 Murid ditunjukkan carta Jejak Labah-labah.
4.1.4.2 Murid mencari abjad berdasarkan nombor yang diberi dan menyebut suku
kata kvk yang diperolehi.
4.1.4.3 Ulang aktiviti permainan kepada murid lain sehingga 4 pusingan.
4.1.4.4 Berdasarkan pemerhatian,ternyata aktiviti ini dapat mengukuhkan
penguasaan kemahiran suku kata kvk melalui permainan yang dijalankan.
Guru menyediakan beberapa cara lain bagi mempelbagaikan perkataan
kvk yang lain.

Contoh perkataan kvk yang lain:
a- jam d- mop g- bom j- bot m- van
b- beg e- tin h- jet k- jem n- zip
c- pin f- kek i- gas l- bas o- vas

Proses 5 Mereflek ( analisa dan refleksi )
Semasa aktiviti Jejak Labah-labah 1 hingga 4 dilaksanakan,saya merasa sangat gembira , terharu dan bangga, di atas catatan pencapaian yang tinggi yang telah diperolehi oleh 4 orang murid sasaran kajian saya. Walaupun aktiviti 4 adalah aktiviti yang tertinggi aras kemahiran bacaanya tetapi atas minat, keyakinan yang lahir kesan daripada permainan ini, telah menyebabkan tiga daripada mereka mencatatkan keputusan yang membanggakan .Dua orang daripadanya yang amat lemah bacaan mereka pun telah mencatatkan keputusan yang membanggakan. Seorang daripadanya ,telah menunjukkan minat untuk datang ke sekolah dan mengikuti pengajaran dan pembelajaran di kelas saya dan boleh membaca perkataan suku kata kvk walaupun pada awalnya, dia tidak mengenal huruf a – z . Pelajar berjaya mengecam dan membetulkan kesalahan yang sengaja guru lakukan untuk menguji penguasaan bacaan mereka.
Selepas menjalankan kajian kepada 4 orang murid tersebut, mereka suka membaca dan menyatakan aktiviti membaca itu sesuatu yang menyeronokkan. Inilah salah satu luahan kata yang telah diungkapkan oleh salah seorang murid kajian, “Cikgu dulu saya takut nak baca, tetapi sekarang saya suka baca”, ..Di sisi murid, pengaplikasian Jejak labah-labah dalam P&P telah meningkatkan motivasi, menghilangkan rasa rendah diri, meningkatkan tahap kepuashatian murid dan semangat untuk terus belajar. Hal ini kerana mereka telah berjaya melepasi “halangan” iaitu kegagalan menguasai kemahiran membaca. Tanpa dapat dinafikan bahawa bahasa merentas kurikulum. Sesungguhnya situasi yang memberi sinar harapan ini disumbangkan oleh keistimewaan-keistimewaan yang terdapat dalam kaedah rawatan menggunakan teknik Jejak Labah-labah.
Melalui aktiviti yang dijalankan bagi pihak guru pula, saya dapat merangka rancangan pengajaran yang menarik minat murid kepada mata pelajaran Bahasa Melayu dan dapat meningkatkan keyakinan diri sendiri. Selain daripada itu kaedah ini juga menjadi daya penggerak kepada pengukuhan bacaan murid. Pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih seronok, guru dapat mengetahui kekuatan dan kelemahan murid. Maklum balas ini penting untuk tindakan susulan yang selanjutnya. Aktiviti secara permainan ini dapat mengeratkan lagi hubungan mesra guru dan murid. Murid tidak lagi merasa takut untuk menyebut perkataan sambil bermain. Perasaan ini perlu terus dipupuk pada kemahiran bacaan yang lebih tinggi, seperti dalam mengajar membaca perkataan yang mengandungi diftong dan diagraf berganding, serta membaca ayat untuk kepelbagaian ayat di masa akan datang.
Dengan ini saya telah dapat menanamkan keyakinan diri dan merasakan dirinya benar-benar berguna dan dihargai . Sesungguhnya aktiviti yang tidak membosankan ini telah menggalakkan murid untuk mencuba dan terus mencuba, untuk terus menghabiskan permainan dan memperoleh ganjaran sama ada dalam bentuk material atau non material (pujian dan sanjungan ). Rumusannya , aplikasi Jejak Labah-labah dalam P&P Bahasa Melayu secara tidak langsung telah membantu murid untuk menguasai 3M seiring dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan, untuk melahirkan insan yang seimbang dari aspek jasmani, emosi , rohani dan intelek.

6. Cadangan Kajian Seterusnya:
Hasil daripada penyelidikan yang dijalankan, saya dapati terdapat perubahan yang positif dari segi amalan pengajaran guru dan amalan pembelajaran pelajar.Saya mencadangkan untuk mengguna pakai Teknik Permainan ini untuk mengajar kemahiran membaca pantun dan simpulan bahasa. Teknik ini juga boleh digunakan untuk mempertingkatkan kemahiran menulis perkataan berasaskan latih tubi membaca . Saya juga berhasrat untuk membina model-model “Jejak kv+kvk, Jejak kvk+kvk”, dan kemahiran seterusnya yang lain dengan melengkapkan lagi model ini dengan unsur-unsur visual dan grafik yang lebih menarik, serta melengkapkannya dengan soalan-soalan serta kaedah yang lebih mencabar dan kreatif. Semoga hasil kajian saya ini dapat dimanfaatkan dan menjadi proses P&P lebih menarik, berkesan dan menyeronokkan.

Bibliografi:
1. Buku panduan,Pelaksanaan Program Pendidikan Pemulihan Khas(masalah penguasaan 3M).1998
Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan Malaysia.
2. Majid Konting. 1994. Kaedah Penyelidikan Pendidikan, Kuala Lumpur,Dewan Bahasa Dan Pustaka
3. Manual IPP3M tahun3, (bagi kegunaan program pemulihan khas Kementerian Pendidikan Malaysia), Jabatan Pendidikan Khas Kementerian Pendidikan Malaysia.
4. Nik Safiah Karim,Farid M.Onn, Hashim Hj. Musa, 2000.Tatabahasa Dewan Jilid 2: Perkataan; Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd.
5. Puan Hajah Juliani bt. Abdullah, Kaedah Cepat Membaca, Bacalah Sayang,Gabungan Majlis Guru Besar
6. Pusat Perkembangan Kurikulum: Aplikasi Teori Kecerdasan Pelbagai Dalam Pengajaran & Pembelajaran Kementerian Pendidikan Malaysia.
7. Pusat Perkembangan Kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia, Belajar Cara Belajar.Kementerian Pendidikan Malaysia.
8. Selan Osni, Bahasa Melayu Tahun Satu (transisi) Asas Bacaan Fahaman dan tulisan.
9. Sharida Sharudin, Bacalah Sayang, Associated Educational Distributors ( M) Sdn. Bhd. Sek. Rendah Malaysia, Kreatif Kembara Sdn. Bhd.